SHAH ALAM – Institusi agama Islam di Malaysia diharap dapat menjadi ‘trendsetter’ bagi memartabatkan isu-isu berkaitan orang kelainan upaya (OKU).
Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jalinan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin berkata, memandangkan Malaysia adalah negara Islam, peranan tersebut sangat penting untuk dimainkan atau diketuai oleh institusi-institusi agama di negara ini.
“Kita mahu bukan sahaja dari segi kemudahan OKU itu dapat dilaksanakan tetapi mahu kesedaran serta nilai-nilai empati seperti keikhlasan, kasih sayang, keinsanan untuk menyantuni OKU itu dapat diterapkan oleh institusi agama kita sekaligus menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan dan lain-lain.
“Nilai-nilai ini penting kerana kita masih boleh melihat stigma masyarakat di negara ini terhadap OKU amat berbeza berbanding negara luar. Di negara luar penerimaan masyarakat terhadap OKU sangat positif tetapi di negara ini, kita tidak sangka kata-kata nista boleh keluar dari mulut masyarakat Islam terhadap golongan tersebut,” katanya pada Wacana Al-Quran siri ke-78 bertajuk Adakah Benar Islam Meminggirkan OKU yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Justeru katanya, institusi agama perlu ambil inisiatif untuk ketuai usaha dalam memartabatkan golongan tersebut bersama Majlis Kebangsaan Bagi OKU.
Turut menjadi panelis pada program itu, Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Hasnah Toran.
Program itu juga dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail serta Qari, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Isra’ ayat 70 dan surah al-Fath ayat 17.
Dalam perkembangan sama, Ruzita turut menekankan mengenai pentingnya untuk membangunkan satu ‘master plan’ bagi pendidikan golongan OKU termasuk dalam aspek agama.
“Kalau lihat peluang pendidikan untuk golongan OKU dari peringkat tadika sehingga ke universiti sudah ada tetapi tidak diikuti dengan sokongan sepatutnya dari segi prasarana, kemudahan, latihan guru, bahan bacaan termasuk sistem.
“Semua ini perlu dibangunkan seiring dengan peluang yang diberikan,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122273/KHAS/#WacanaQuran/Institusi-agama-Islam-perlu-jadi-trendsetter-martabat-isu-OKU
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf